Seorang wanita di Kanada telah pergi ke kedai jimat dan barangan terpakai secara suka-suka dan membeli satu kotak jenama Q-tips dengan bungkusan putik kapas di dalamnya yang berharga RM2.00 untuk kegunaan harian.
Setelah pulang ke rumah dan membuka kotak tersebut, wanita ini agak terperanjat melihat isi di dalamnya dan membuat keputusan untuk memulangkannya.
Loretta Simms dari Shawnigan Lake, British Columbia, Kanada amat suka pergi ke Kedai Jimat dan Barangan Terpakai Hospital Cowichan di Duncan untuk mendapatkan barangan yang lebih murah.

Kredit : Cheknews
Pada suatu hari, Loretta telah pergi ke kedai jimat itu secara suka-suka dan mengambil keputusan membeli sekotak putik kapas berjenama Q-tips dengan harga RM2.00.

Loretta berkata, “Dengan membeli Q-tips, saya boleh menggunakan putik kapas lama itu untuk membersihkan celah-celah tingkap rumah. Itulah tujuan kegunaannya.”
Apa yang Loretta tidak tahu ialah kejutan yang berada di dalam kotak itu apabila beliau sudah sampai ke rumah dan membukanya.
Loretta berkata, “Saya berasa seperti tidak mempercayai apa yang telah ditemui di dalam kotak itu.”
Rupa-rupanya di dalam kotak yang kecil itu, tersembunyi beberapa bentuk cincin berlian dan sekalung mutiara. Lapan bentuk cincin yang mengandungi batu berlian, rubi dan zamrud asli.

Kredit : Canada Times of News
Dengan perasaan yang agak terperanjat, Loretta Simms telah memandu kembali ke kedai jimat itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya untuk memulangkan kembali koleksi barang kemas itu.
Pekerja di kedai itu merasa sangat terkejut dan tidak mempercayai kotak itu telah disimpan dengan barangan berharga.
Pengarah kedai jimat itu, Arlene Cristofoli berkata, “Saya sendiri menjadi keliru. Biasanya pihak kami akan memeriksa semua barang yang dihantar kepada pihak kami. Tetapi bagi kotak dua kotak Q-tips ini, salah satunya dibungkus dengan rapi dan kami tidak pun membukanya.”

Kredit : Cheknews
Arlene menyambung, “Saya terus meletakkan harga di atasnya. Oleh kerana ia dibalut cantik, saya mengambil kesempatan untuk tidak menelitinya dengan terus meletakkan harga RM2.00, jadi Loretta telah membayar RM2.00 untuk 8 bentuk cincin berlian dan permata bersama sekalung mutiara.”
Arlene Cristofoli juga mengesahkan yang kalung mutiara dan cincin itu adalah asli.
Bagaimana barangan perhiasan wanita ini boleh terselit dan tersembunyi di dalam kotak Q-tips?.
Menurut Arlene, seorang lelaki yang tinggal di luar negara telah mengemas rumah kakaknya yang telah meninggal dunia.
Lelaki ini telah mendermakan beberapa barangan yang masih boleh digunakan termasuk 2 kotak Q-tips ini kepada kedai jimat berkenaan untuk jualan amal.

Kredit : Cheknews
Loretta berkata beliau tidak layak untuk menyimpan kotak berharga tersebut, terutama dengan memikirkan ia telah dibeli dari tempat jualan amal yang hasil wangnya digunakan untuk golongan yang memerlukan.
Kesemua jualan di kedai jimat itu akan disalurkan untuk membantu pesakit di Hospital Cowichan. Jadi itu adalah sebab utama mengapa Loretta memulangkan kembali kotak Q-tips bersama barangan di dalamnya.
Menurut Loretta, “Saya berasa tidak sedap hati menyimpan barang yang bukan kepunyaan saya. Tujuan ia berada di situ bukan untuk saya. Tujuan bagi saya ialah berfikir untuk terus memulangkannya kerana ia bukan hak saya dan itu sebab utamanya.”

Kredit : Cheknews
Koleksi barangan kemas itu telah diperiksa dan dinilai dengan harga RM7,056. Seorang pembeli tidak dikenali telah membelinya dan segala hasil jualannya telah disumbangkan terus kepada pihak Hospital Cowichan.
Tindakan Loretta Simms wajar dijadikan ikutan. Beliau boleh sahaja menyimpan koleksi barangan kemas itu, tetapi sikapnya yang memikirkan orang lain lebih daripada dirinya sendiri, dan tidak menyukai hak orang lain telah membawa kebaikan dan memberi manfaat kepada semua.
Sumber : erabaru.com.my

