Keindahan alam sememangnya merupakan satu fenomena yang tiada tandingannya. Alam ciptaan Tuhan ini begitu indah dan pastinya membuatkan kita mahu menyimpan segala memori sambil menikmati pemandangan yang begitu mempesonakan.
Di Río de la Plata, Jardim, Brazil, berlaku satu fenomena alam yang cukup memberi keterujaan kepada para pengunjung yang sempat menyaksikannya. Salah seorang pengunjung berjaya merekodkan peristiwa banjir yang berlaku pada musim bunga di kawasan tersebut dan anda pasti akan terkesima melihat keadaan airnya yang begitu jernih bak kilauan berlian!

Menurut pemandu pelancong, sehari sebelum kejadian, hujan turun dengan lebatnya pada waktu malam. Keesokan paginya, kawasan sekitar termasuk jambatan dan laluan pejalan kaki kelihatan ditenggelami air banjir.
“Saya sedang mengendalikan sekumpulan pelancong pada hari tersebut. Biasanya kami akan berjalan sahaja tetapi kali ini, kami terapung,” jelas pemandu pelancong yang dikenali sebagai Maria itu.

Menurut Maria lagi, dia sudah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 16 tahun dan ini merupakan kali ketiga peristiwa seumpama itu berlaku.
“Kejadian ini jarang sekali berlaku. Biasanya, paras air hanya kira-kira satu meter di bawah jambatan tetapi pada waktu itu, paras air meningkat dua meter di atas jambatan”.

Apa yang membezakan kejadian banjir ini dengan banjir lain adalah keadaan airnya yang begitu jernih. Ia seolah-olah membuatkan sesiapa yang melihatnya terasa seperti berada di dalam akuarium!
Sungguh indah sekali! Jarang kita dapat melihat peristiwa banjir yang kebiasaannya melibatkan air yang keruh dan arus yang deras. Kali ini, ia kelihatan sangat mempesonakan.
Namun begitu, fenomena alam ini tidak berlarutan dengan berpanjangan. Pada penghujung hari tersebut, paras air mulai surut dan kembali ke paras normal.
Tonton video di bawah:
Sumber : Sunny Skyz

